:
Selayang Pandang 39 Tahun Maahad Darul Quran Masjid Rusila


Maahad Darul Quran (MDQ) Rusila, yang terletak di sebalik kewujudan Masjid Rusila merupakan salah satu Institusi Pengajian Peringkat Menengah. MDQ ditubuhkan pada tahun 1985 oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di bawah pengurusan Dewan Harian serta Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Kini MDQ telah menjangkau usia 39 tahun dan masih kekal ditadbir secara langsung di bawah Dewan Harian dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT).

Penubuhan asal MDQ adalah hasil buah fikiran tokoh-tokoh kepimpinan PAS, antaranya Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang, Allahyarham Tuan Guru Haji Harun bin Taib dan beberapa alim ulama’ yang lain. Matlamat utama penubuhan MDQ adalah untuk menggalas hadaf dan menghasilkan insan yang soleh sehingga boleh menjamin kesucian Islam dan ini bertepatan dengan moto MDQ iaitu “Ke Arah Melahirkan Generasi Al-Quran Yang Unggul”.

Walaupun diperingkat awal pendaftaran kemasukan pelajar ke MDQ iaitu pada tahun 1985 hanya sekitar 80 orang, akan tetapi sehingga sekarang hampir setiap tahun MDQ menerima sekurang-kurangnya sekitar 250 orang dan ini menjadikan jumlah purata keseluruhan pelajar ialah 1,000 orang sepanjang tahun.

Saban tahun MDQ telah melahirkan generasi yang menjadi harapan Ummah dan pewaris para anbiya’ yang berjuang semata-mata mendaulatkan agama Islam. Dari generasi pertama sehingga kini, kebanyakannya telah bekerja bahkan ada yang menjawat jawatan disektor awam mahupun swasta. Lebih membanggakan lagi, mereka yang menamatkan pengajian diperingkat tinggi terus berkhidmat secara langsung dengan Jemaah Islam bagi memastikan Islam tetap terbela.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita membangunkan Maahad Darul Quran ini dan melahirkan generasi Al-Quran yang unggul. Sesungguhnya jatuh bangun Maahad Darul Quran ini adalah terletak di bahu-bahu kita demi melihat Islam bercahaya di ufuk dunia. Semoga segala usaha murni dan pengorbanan insan-insan yang berjasa dalam membangunkan Maahad Darul Quran mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T.